Agong Berkenan Lawat Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah

KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat melawat Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah di sini Khamis.

Turut mengiringi keberangkatan baginda yang tiba di hospital berkenaan pukul 3.30 petang ialah Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Keberangkatan tiba Sultan Abdullah dimulakan dengan acara menandatangani plak cenderamata sempena lawatan itu, sebelum baginda berdua menziarahi pesakit di hospital berkenaan.

Baginda berdua meluangkan masa selama kira-kira 40 minit di hospital berkenaan.

Sultan Abdullah dan isteri Tunku Azizah tiba di Kota Kinabalu dengan menaiki jet peribadi pada 12.30 tengahari. Ketibaan mereka disambut YDP Agong dan isteri itu disambut oleh Tun Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni bersama Mohd Shafie dan isteri Datin Seri Shuryani Shuiab serta jemaah menteri Kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan yang lain.

Pada petang Khamis, Sultan Abdullah berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan tazkirah di Masjid Bandaraya.

Ini adalah lawatan sulung baginda berdua ke Sabah setelah Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu.

Pada Jumaat pula, Sultan Abdullah dijadual berangkat ke Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi menghadiri sesi taklimat oleh MUIS.

Selepas sesi taklimat oleh MUIS, Sultan Abdullah dijadual berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Kota Kinabalu, manakala Permaisuri Agong akan berangkat melawat Galeri Artisan iaitu Galeri Batik Sabah pada 10 pagi di Menara Tun Mustapha, Jalan Sulaman.

Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Pahang dan negeri-negeri tidak beraja iaitu Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Baginda berdua dijangka mengakhiri lawatan di Negeri Bawah Bayu itu dan berlepas ke Kuala Lumpur jam 4 petang pada Jumaat.

Lawatan ke Sabah adalah inisiatif Yang di-Pertuan Agong sendiri, dan akan dilaksanakan secara bergilir antara Sabah dan Sarawak untuk memperkukuh ikatan silaturahim dengan penduduk di kedua-dua negeri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *