BEKAS ANGGOTA PARLIMEN PENSIANGAN MENINGGAL DUNIA

KOTA KINABALU, 9 Mac (Bernama) — Bekas Anggota Parlimen Pensiangan Datuk Dr Bernard S Maraat, meninggal dunia awal hari ini di Hospital Queen Elizabeth di sini.

Maraat, 68, yang menghidap penyakit kencing manis kronik, meninggal dunia pada 3.05 pagi selepas dimasukkan ke hospital itu semalam.

Ketika dihubungi Bernama, anaknya Clarence berkata mayat mendiang akan dibawa ke Kampung Liawan, Keningau untuk pengebumian.

Maraat merupakan Anggota Parlimen Pensiangan bagi penggal 2004-2008.

Sebelum terlibat dalam politik, beliau merupakan penerbit di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah pada tahun 80-an.

Menurut rakan yang pernah berkerjasama dengan mendiang, Pengarang Bernama News Channel Newmond Tibin, lulusan bidang filem dan komunikasi daripada New York University itu merupakan seorang penerbit yang kreatif, berwawasan serta tidak lokek ilmu.

Newmond berkata pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat Murut kerana beliau merupakan antara pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Sepanjang menjadi anggota parlimen, beliau sangat rajin melawat kawasan dan beliau turut berkongsi hasratnya yang komited untuk membantu memajukan Pensiangan,” katanya yang kali terakhir bertemu mendiang beberapa tahun lepas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *