KOTA KINABALU: Langkah mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Malaysia bakal direalisasikan tidak lama lagi sebaik sahaja pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan mendapat sokongan majoriti dalam Mesyuarat Kabinet Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata, dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan pada Rabu telah bersetuju untuk membuat pindaan ini bagi menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan sekutu.

”Ini adalah langkah besar ke arah merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

”Pindaan perlembagaan itu akan dibentangkan dalam Persidangan Parlimen dan ia memerlukan 2/3 undi majoriti daripada Ahli Parlimen (MP) di Dewan Rakyat.

”Pada masa ini, kita mempunyai 135 MP Pakatan Harapan (PH) termasuk 10 MP mewakili Warisan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

”Kita hanya memerlukan undian sebanyak 148 daripada 222 MP di Dewan Rakyat.

”Saya yakin semua MP di Sabah dan Sarawak yang berjumlah 56 orang akan memberi sepenuh sokongan kepada kerajaan dalam memastikan status rakan sekutu itu dapat dikembalikan,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Forum Pemulihan Keadilan (Restorative of Justice), di sini pada Jumaat.

Liew berkata, dengan pindaan perlembagaan itu, ia akan membolehkan ketiga-tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia bekerjasama lebih erat dalam sebuah negara yang bersatu.

”Ia juga akan membolehkan kita terus hidup dalam suasana yang penuh harmoni, aman dan makmur dibumi Malaysia.

”Kita amat menghargai usaha dilakukan Perdana Menteri serta Ketua Menteri Sabah dan Sarawak yang tidak henti-henti berusaha untuk merealisasikan status rakan sekutu ini.

”Namun, kita tidak boleh berhenti setakat itu kerana kita masih mempunyai kerja yang perlu dilakukan bagi memastikan semua hak dan kepentingan ini (dalam MA63) dilindungi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Liew berkata, sejak pembentukan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak dan menyelaraskan MA63 diumumkan tahun lalu, jawatankuasa itu telah mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali iaitu pada 17 Disember 2018 dan 4 Mac lalu. Malah, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja juga turut diwujudkan.

Jawatankuasa Khas Kabinet itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Ketua Menteri Sabah dan Sarawak bersama menteri-menteri Kabinet lain serta Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak,Ketua Peguam Negara,Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak,Ketua Setiausaha Negara serta beberapa pegawai dan wakil-wakil badan profesional lain.

”Jawatankuasa itu akan mengadakan perjumpaan setiap dua bulan manakala, Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh saya dan Ketua Peguam Negara akan mengadakan perjumpaan setiap bulan manakala, Jawatankuasa Kerja mengadakan perjumpaan sekali pada setiap dua minggu.

Dalam perjumpaan pada 4 Mac itu, perkara lain turut dibincangkan adalah seperti undang-undang perlembagaan, isu kewangan, ekonomi, kehakiman Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, cukai duit setem serta beberapa perkara lain.