Polis Marin Labuan Tahan Empat Warga Asing Di Perairan Labuan

LABUAN: Polis marin disini menahan tiga pendatang asing tanpa izin dan seorang pemegang pas Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) yang menjalankan aktiviti menangkap hasil laut di perairan Labuan dalam dua operasi berasingan di sini pada pagi Jumaat.

Dua nelayan berumur 25 dan 29 (seorang daripadanya pemegang pas IMM13) ditahan semasa ‘Op Gelora’ di perairan Pulau Enoe.

Mengikut laporan Bernama, sekurang-kurangnya 70 kilogram pelbagai hasil laut, bot dan peralatan mereka bernilai RM19, 510 dirampas.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata semasa pemeriksaan, kapten bot yang tidak mempunyai dokumen perjalanan menunjukkan lesen perikanan yang tamat tempoh, yang menjadi kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

Seorang lagi nelayan, berumur 22 tahun, ditahan berhampiran perairan Petronas Methanol semasa sedang menangkap ikan.

“Lelaki berkenaan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri  mengaku baru bekerja sebagai kru bot nelayan selama sebulan,” katanya.

Beliau berkata tangkapan keempat merupakan seorang lelaki yang ditahan di jeti pendaratan ikan di Ujung Pasir semasa ‘Op Landai Khas’.

“Kami menahannya selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan kesemua mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11 (2) (b) Akta Perikanan 1985.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *