Sabah perlu manfaat sumber asli: Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Sabah akan memastikan sumber asli negeri itu terutama minyak dan gas dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana pembangunan ekonomi dan faedah untuk rakyat secara keseluruhannya.

Ketua Menteri, Datuk Ser Mohd Shafie Apdal berkata langkah Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) adalah contoh terbaik apabila menjadi syarikat pertama melaksanakan projek MIcro LNG di negara ini dan kini menggembangkannya ke Sabah.

Menurut beliau melalui pembinaan kemudahan LNG yang boleh membekalkan gas kepada syarikat-syarikat berskala sederhana akan membolehkan pembangunan industri di Sabah dapat ditingkatkan.

“Kapasiti LNG ini dalam lingkungan 35 juta metrik tan dan sudah beroperasi membekalkan LNG ke beberapa buah tempat, syarikat dan pusat komersial.

“Kerajaan negeri yakin projek ini bukan hanya menjana ekonnomi tetapi juga memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kemudahan Projek LNG SEC di Taman Perindustrian Kota KInabalu (KKIP) di sini semalam.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hashim Paijan; Pengerusi SEC Sdn. Bhd., Datuk Ramlee Dua; Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Harun Ismail dan President Zhangjijagang Furui Special Equipment Co. Ltd., China, Wu Pin Fang.

Mohd Shafie berkata usaha SEC adalah selari dengan dasar kerajaan untuk membangunkan negeri ini sebagai sebuah negeri perindustrian yang maju.

SEC telah membekalkan gas asli kepada pengguna di Wilayah Persekutuan Labuan dan KKIP sejak 1985 dan 2003.

Ia adalah fasa pertama syarikat pengedaran gas asli itu untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih murah dan bersih kepada pengguna di KKIP melalui rangkaian paip gas bawah tanah yang disambung ke premis pengguna.

Pada tahun 2012, SEC melancarkan fasa kedua pengedaran gas asli menerusi sistem saluran paip maya (VPS) yang menggunakan gas asli termampat (CNG) untuk pengguna yang tidak mempunyai akses kepada infrastruktur paip gas asli dan terletak jauh dari saluran paip gas di KKIP.

Dengan siapnya fasa ketiga hari ini, SEC kini dapat membekalkan gas asli yang bersih dan lebih murah kepada spektrum industri yang lebih luas melalui Sabah sejajar dengan misi untuk menjadi ‘Penyedia Gas Asli Anda’. – SabahNewsToday