SYARIKAT BERAS VIETNAM RESAH, 351 KONTENA BERAS DITAHAN KASTAM SEPANGGAR

KOTA KINABALU: Tujuh syarikat beras Vietnam mohon perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed untuk campurtangan bagi pelepasan 351 kontena beras mereka yang ditahan di Pelabuhan Sepanggar sejak September tahun lalu.

Surat itu diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Ho Chi Minh pada Sabtu oleh wakil ketujuh-tujuh syarikat.

Syarikat tersebut adalah Phat Tai Company Limited, Phung Hoang Rice JSC, Long FF Company Limited, Long An Food Company, Hanoi Trade Joint Stock Corporation, Kien Giang Trading JSC dan Orient Rice Co Ltd.

Menurut Pengarah Pemasaran salah sebuah syarikat terbabit, Peter Doan sekiranya masalah ini tidak diselesaikan, Persatuan Makanan Vietnam akan mengumumkan penghentian dagangan beras dengan Sabah.

Menurut Peter, masalah bermula apabila kapal M.V Formosa Container No.5 yang membawa 351 kontena beras itu terpaksa menurunkan muatannya di Sepanggar memandangkan destinasi bagi pemindahan kapal (transhipment) iaitu Pelabuhan Labuan sesak pada September tahun lalu.

Pada Oktober 2018, Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut dilaporkan mengarah pentadbiran Pelabuhan Labuan mencari jalan penyelesaian segera kepada kesesakan di terminal kontena pelabuhannya.

Pelabuhan Labuan telah mengumumkan surcaj tambahan kepada syarikat perkapalan bagi menurunkan dan memuatkan kontena bermula 1 Oktober 2018.

Peter berkata kapal MV Formosa berlepas dari Ho Chi Minh dengan 351 kontena beras pada 8 September 2018.

“Oleh kerana kesesakan terminal kontena di Labuan maka MV Formosa terpaksa menurunkan kontena beras kami di Sepanggar dan akan mengambilnya semula dua minggu kemudian iaitu pada 24 September.

Peter berkata agen perkapalan, Johan Agency Sdn Bhd telah memberi notis kepada pihak Kastam di Sepanggar mengenai hal ini pada 7, September 2018 dan ianya telah diterima.

Pada 11 September, MV Formosa tiba di Sepanggar dan menurunkan muatan bersama dengan borang K6 iaitu dokumen transshipment dan bukannya untuk import.

“Tetapi apabila kami mahu memuatkan semula kontena ke atas MV Formosa permohonan tersebut ditolak oleh pihak Kastam,” katanya.

Menurutnya, pihak kastam telahpun memeriksa kontena, beg-beg beras dan segala dokumen yang menunjukkan bahawa ia adalah muatan transshipment ke Filipina melalui Pelabuhan Labuan.

“Kami tidak faham mengapa pihak kastam menahan kargo kami sehingga berbulan lamanya,” katanya.

Pada mulanya, mereka diberitahu oleh pihak Kastam bahawa mereka harus menunjukkan Permit Import bagi muatan itu namun setelah diperiksa dengan Kementerian Pertanian Malaysia, Permit Import bagi transshipment hanya berkuatkuasa bermula 31 Mac tahun ini.

Selepas itu Peter berkata pihak Kastam di sini memberitahu ibupejabat bahawa kontena tersebut diletakkan di Sepanggar dalam tempoh yang lama untuk tujuan penyeludupan.

“Dakwaan ini adalah tidak benar memandangkan kami telah memohon sejak 24 September tahun lalu untuk dimuatkan semula ke atas kapal dan dibawa ke Labuan tetapi ditolak,” katanya.

Tuduhan mereka terlibat dengan penyeludupan adalah tidak logik, kata Peter memandangkan kawasan di mana kontena itu disimpan adalah kawasan larangan dan terletak dibawah kuasa penuh pihak kastam dan pelabuhan.

“Kami sendiri tidak dibenarkan menyentuh kontena tersebut tanpa kebenaran daripada pihak kastam,” katanya.

Kemudian, Peter berkata pihak kastam memberi alasan bahawa kontena tersebut diturunkan di Pelabuhan Sepanggar tanpa deklarasi kastam.

“Tetapi, kargo kami adalah transshipment di Pelabuhan Labuan. Di sana barulah kami akan membuat deklarasi,” katanya.

Peter berkata mereka akan meminta bantuan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat pegawai yang mengurus kes tersebut.

Pihak kastam tidak dapat dihubungi ketika berita ini ditulis -SabahNewsToday