TAMBADAU SABAH BURU KEMENANGAN KEEMPAT DI PAROI ESOK

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah memburu kemenangan keempat dalam saingan Liga Premier menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abd Rahman, Paroi esok.

Ketua jurulatih Jelius Ating berkata momentum pasukan kini di tahap baik untuk dimanfaatkan meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya melakukannya pada tiga perlawanan sebelum ini.

“Bukan tugas mudah tetapi kami akan cuba yang terbaik,” kata Jelius ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau membayangkan akan menggunakan kesebelasan sama sebagaimana ketika mengalahkan PDRM 3-1 di Stadium Likas minggu lalu.

“Kita akan guna kesebelasan sama seperti perlawanan (menentang PDRM) sebelum ini. Mereka telah melakukan tugas dengan baik dan terus membuktikan dalam latihan untuk dikekalkan dalam kesebelasan utama.

“Bagaimanapun pemain di bangku simpanan juga sedia menggalas tugas sebagai kesebelasan utama bila-bila masa, jadi kesebelasan utama bukan isu utama sebaliknya fokus kita ialah bagaimana mahu meneruskan rentak kemenangan,” katanya.

“Saya tidak tahu banyak mengenai lawan walaupun ada melihat beberapa sudut rakaman tetapi rekod baru kalah sekali, seri tiga kali dan menang sekali menunjukkan mereka ini pasukan yang boleh menjadi ancaman kepada kita.

“Kami kena waspada dan bersedia  kerana mereka juga merupakan pasukan berpengalaman yang bersaing dalam Liga Super musim lalu,” tambahnya.

Mengenai masalah gol bolos, Jelius berkata, perkara itu telah diberi perhatian dalam latihan.

“Kita ada gol bolos dalam setiap perlawanan sebelum ini. Kebanyakan gol bolos kita berpunca dari bola mati…kita dihukum oleh sedikit kelekaan. Harap-harap esok (malam ini) ia tidak berlaku kerana perkara ini telah diberi perhatian dalam latihan,” katanya.

Sebagaimana perlawanan sebelum ini,  pertahanan utama akan digalas ketua pasukan Rawilson Batuil dan Park Tae Su serta dibantu Randy Baruh dan Dendy Lowa di kanan dan kiri manakala Rozaimie Rohim sebagai penjaga gol utama.

Jentera serangan disandarkan kepada gandingan Rodoljub Paunovic dan Luiz Carlos Junior dengan bantuan Luka Milunovic di belakang serta Mohd Azizan Nordin di tengah manakala Maxsius Musa dan Sabri Sahar  membuka gerakan dari sayap kanan dan kiri.

Turut dalam senarai 18 pemain yang dibawa ialah Robson Rendy Rining, Jenius Karib Alto Linus, Ariusdius Jais, Ricco Nigel Milus, Rahman Shah Marajeh dan Muhammad Mohd Safar.

Sebagai rekod Sabah kini di kedudukan kedua selepas mengumpul 10 mata dari lima perlawanan iaitu dua mata di belakang pendahulu JDT II manakala Negeri Sembilan di tangga keenam dengan enam mata.-SabahNewsToday