‘Wanita Perlu Ubah Mentaliti, Bijak Bahagi Masa’ – Jo-Anna Rampas

KOTA KINABALU: Golongan wanita harus mengubah corak mentaliti mereka dalam usaha memajukan karier dan keluarga untuk memastikan peranan kaum Hawa terus relevan.

Setiausaha Politik Kementerian Kewangan Sabah, Jo-Anna Sue Henley Rampas (gambar) berkata ini memandangkan di dunia korporat masa kini, kerajaan baharu melalui Belanjawan 2019 menyasarkan 30 peratus pembabitan wanita dalam sektor swasta yang mampu dicapai pada tahun 2020.

Beliau berkata setakat ini, penglibatan golongan wanita di Malaysia sudah mencapai kira-kira 24 peratus di dalam 100 syarikat berdaftar terkemuka di negara ini.

“Kaum Hawa seharusnya mengubah mentaliti mereka, perjuangan berterusan di antara karier dan keluarga di mana kita haruslah berusaha untuk berkerjaya dan masih menjadi ‘ibu’ dalam keluarga, sumbangan adalah perlu bagi memastikan kewangan keluarga utuh.

“Di dalam dunia korporat masa kini, kerajaan baharu telah menginstitusikan sasaran 30 peratus pembabitan wanita dalam sektor swasta pada tahun 2020, yang saya percaya mampu dicapai,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Menyentuh tentang konteks penglibatan kaum Hawa di dalam dunia politik masa kini, Jo-Anna berpendapat kesedaran secara tuntas amat penting dalam menyelesaikan permasalahan kesamarataan genre di Malaysia.

Katanya, perkara itu haruslah dilaksanakan oleh penggubal undang-undang di Parlimen dengan mengambil contoh komen-komen berunsur seksis yang mencerminkan keperluan dan kesedaran tentang hak kesamarataan gender.

“Jika anda melihat kepada statistik ahli politik di Malaysia dan secara khususnya di Sabah, kita agak jauh dalam mencapai kesamarataan hak dalam genre ini.

“Jika anda melihat kepada peranan perdana menteri wanita (di negara lain), ia memberi kesan selepas kita mempunyai Timbalan Perdana Menteri wanita dan sudah tentu kita akan menerima Perdana Menteri daripada kalangan kaum Hawa.